MALAM LAILATUL QADAR PENCERAMAH : PAK BUDI
‘Lailatul Qadar (Arab: لیلة القدر)
adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadan. Ayat al-Qur’an
yang pertama dipercayai diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di
dalam al-Qur’an dalam surah Al-Qadr, dan diceritakan lebih baik daripada
seribu bulan.
Saat
pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa
hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan,
tepatnya pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau
ke-29. Malah ada sebahagian ulama yang menganggap ia berlaku pada malam
genap seperti malam 24 Ramadan. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam
ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam
khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Sebahagian Muslim biasanya
berusaha tidak melewatkan malam ini dengan menjaga diri agar berjaga
pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.
10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh
dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah
merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan
Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat
antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah
dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.
Maksudnya: “Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam
Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu
Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam
itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan
mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar”.
Sebab turun surah al-Qadr
Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik
dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan
daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w.
telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah
menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang
Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di
atas.
Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah
telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah
selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para
sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu
kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari
amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata
kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan
ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.
Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan
orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai
beramal 1000 bulan.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut
Maksudnya: “Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya”
Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat
baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama
beribadah. Kata Aisyah r.a.
Maksudnya: “Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda
mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan
keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud
bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah.”
Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar
Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya
umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan
pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis
yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.
Maksudnya: “Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan
mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia
beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan
dosanya yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam
lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan
dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk
menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:
Maksudnya: “Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan
bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir
daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain.”
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam
Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir
daripada bulan Ramadhan.
Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 &
29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang
menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman
Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam
23 Ramadhan.
Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w.
menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa
Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda
menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari
keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa
malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang
lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan.
Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap
dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10
malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan
cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula
rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia
di dunia mahupun di akhirat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar